Jumaat, 21 Januari 2011

Tajuk berita: `Duang' amalan unik masyarakat Bajau

Tajuk berita: `Duang' amalan unik masyarakat Bajau
Penerbitan: BH
Tarikh penerbitan: Dis 11, 2008
Tajuk bahagian: Hip
Mukasurat: 22
Penulis: Oleh Mohd Azrone Sarabatin

BUDAYA bertukar `duang' yang menjadi pengisian wajib sambutan Aidilfitri dan Aidiladha masyarakat Bajau menghampiri ambang untuk tersenarai sebagai warisan yang hilang dalam peta kebudayaan, kesenian dan warisan negara jika sambutan dingin generasi muda untuk mempertahannya gagal diubah.

    `Duang' bermaksud dulang atau dalam konteks bertukar `duang' merujuk kepada bahan makanan dan minuman yang asalnya disimpan dalam dulang, dipindahkan ke `tembusa' atau beg galas hasil anyaman daun kelapa pada zaman silam.

    Kaedah pembungkusan turut berubah secara berperingkat mengikut perkembangan semasa kepada kain sarung, kotak kertas, beg plastik, raga plastik dan hamper.

     Lazimnya, upacara `ngeduang' atau bertukar bahan makanan berlangsung masjid selepas solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha serta dikenali `duang subuh' atau `duang raya' kerana kemuncak penyediaannya adalah pada waktu subuh menjelang lebaran.

    Budaya itu penting dalam pengukuhan persaudaraan dan hubungan kekeluargaan masyarakat Bajau pada hari raya kerana berjaya menyatupadukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira darjat dan latar belakang ekonomi.

   Sayangnya, ketika ini budaya itu hanya diamalkan di beberapa perkampungan masyarakat Bajau di Kota Belud seperti Kampung Labuan, Kampung Tanjung Pasir dan Kampung Pangkalan Abai manakala di Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan dan Papar, ia hanya tinggal kenangan.

   Penulis sempat menelusuri budaya itu pada akhir era kegemilangannya pada awal 1980an kerana ketika itu sering mengikuti keluarga menyertai upacara bertukar `duang' di Masjid Kampung Tanjung Pasir atau lebih popular `Balai Diah'.

   Ketika itu, perhubungan ke Kampung Tanjung Pasir adalah jalan tanah hitam tanpa sebiji batu yang hanya boleh dilalui pejalan kaki dan haiwan tunggangan seperti kuda dan kerbau, menyebabkan `duang' terpaksa diangkut menggunakan `kangga' ditarik kerbau yang mirip pedati kerbau tiada roda.

    Sebuah keluarga membawa sekurang-kurangnya lima `tembusa' berisi bahan makanan dan diwajibkan menyediakan kuih tradisional masyarakat Bajau iaitu `penjaram'.

    Mengikut kajian dua pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Helena Sendera Mohd Yakin dan Dr Saidatul Nornis Mahali, dalam tesis mereka bertajuk `Duang: Satu Tafsiran Awal Tentang Budaya Klasik Bajau', penjaram adalah menu wajib `duang'.

    Penjaram diperbuat daripada tepung beras meliputi dua bentuk iaitu bulat pinggir bercorak dan `samarinda' (bulat pinggir tiada corak) dan ada tiga warna mengikut bahan pewarna asli iaitu putih menggunakan gula putih, coklat (gula tebu asli) dan hijau (pandan wangi).

    Kuih tradisional lain yang disediakan adalah penganan' (kuih cincin), `berati', `kalas' atau ketupat palas, `wajit' atau wajik, inti kelapa dan minuman tradisi seperti `sepang'.

   Menu lain adalah daging, ikan dan sayur yang dimasak secara moden dan tradisional, begitu juga pelbagai minuman dan makanan moden termasuk sirap, `lemonade' makanan laut serta buahbuahan dalam tin.

    Sebelum `duang' dibawa pulang, pemilik dan penerima akan meminta restu supaya segala kekurangan dirahsiakan bagi mengelak wujud persengketaan dan perasaan riak serta hasad dengki.

   Pada awal 1980an, penggunaan `tembusa' masih diamalkan dan mulai pertengahan 1980an pembungkusan
`duang' bertukar kepada kotak kertas dan seterusnya sejak pertengahan 1990an hingga kini ia diganti beg plastik, raga plastik dan hamper.

   Mungkinkah `duang' dianggap tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa sehingga ia meniti usia senja dan kini hanya diamalkan oleh beberapa kampung di Kota Belud.

   Saiz `duang' juga semakin kecil dan kini kecenderungannya sebuah keluarga hanya membawa sebakul `duang' dalam beg plastik untuk ditukar selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
 
    Begitulah uniknya `duang', budaya masyarakat Bajau yang kini semakin meniti era kemalapan dan bakal hilang dalam kehidupan masyarakat Bajau jika tiada usaha untuk mempertahannya terutama di kalangan belia.

 INFO

Kepentingan `duang' dalam masyarakat Bajau

* Mengikut kajian dua pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Helena Sendera Mohd Yakin dan Dr Saidatul Nornis Mahali, dalam tesis bertajuk `Duang: Satu Tafsiran Awal Tentang Budaya Klasik Bajau, `duang' terbahagi kepada tiga kategori iaitu `duang subuh' atau `duang raya', `duang rumah' dan `duang tampu'.

* `Duang rumah' disediakan oleh tuan rumah atau ahli keluarga si mati untuk disedekahkan kepada tetamu ketika kenduri arwah pada hari ketujuh, ke-20, ke-40, Ke-100 dan genap setahun kematian.

* `Duang tampu' pula disedekahkan tetamu yang menghadiri kenduri arwah pada hari ketujuh, ke-20, ke-40, ke-100 dan genap setahun kematian. `Tampu' bermaksud bantuan.

* Tok imam yang mengetuai kenduri arwah akan menerima `tekok duang' iaitu `duang' utama sebagai penghargaan tuan rumah kepadanya.

* Duang untuk golongan bangsawan pula dikenali `duang tabak' yang biasanya bahan makanan dihidang dalam dulang tembaga dan diletakkan di atas cembul tembaga.

* Tudung saji pula dikenali `tudung duang'.
(END)