Headline: Balai Diah wajar diwarta pusat pelancongan
Publication: BH
Date of publication: Jul 22, 2009
Section heading: Hip
Page number: 16
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin
HAMPIR seabad atau lebih tepat 90 tahun lamanya, teks `Khutbah Ilahu' seperti syair dalam bahasa Arab digunakan sebagai khutbah Jumaat dan Aidilfitri serta Aidiladha di Masjid Tanjung Pasir, Kota Belud, Sabah. Persoalannya, mengapa?
Selain meminta rakyat mendekati suruhan Allah dan menjauhi larangan agama, antara inti pati lain khutbah lama berkenaan adalah mendoakan kesejahteraan Sultan Brunei Darussalam, Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin yang mangkat pada 1903 iaitu lapan tahun sebelum pembinaan masjid yang asalnya dikenali `Balai Diah' itu.
Sultan Brunei Darussalam ketika masjid itu dibina adalah Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin yang menggantikan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin.
Ada dua pandangan mengenai tarikh pembinaan masjid diperakui sebagai masjid tertua di Kota Belud itu, iaitu pada 1911 dan 1935.
Yang Dipertua Seni Warisan Satria Sabah (SWSS), A Sailin Taat, 71, berkata masjid itu diasaskan datuknya, Almarhum Pangeran Deraman Pangeran Ali yang didakwa kerabat Diraja Brunei pada 1911.
Katanya, ketika itu Islam sudah berkembang di Tempassuk (nama lama Kota Belud), belum ada masjid dibina untuk beribadat, sekali gus menyebabkan pegangan agama penduduk setempat pada tahap lemah, selain tiada pusat untuk bermuzakarah mengukuhkan perpaduan dan kekuatan menentang penjajah Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).
"Datuk saya memilih pembinaan masjid di Tanjung Pasir berikutan kegemilangan kawasan itu sebagai pusat perdagangan, persinggahan dan pertukaran barang yang dengan sendirinya memudahkan pengembangan kegiatan dakwah Islamiah, muzakarah dan mengukuhkan perpaduan untuk memerdekakan tanah air.
"Asal nama masjid itu ialah Masjid Kampung Labuan (Kota Belud) yang mendapat nama daripada perkataan pelabuhan. Bagaimanapun, pada 1980-an, Kampung Tanjung Pasir yang meliputi tapak masjid berkenaan diwartakan, menyebabkan namanya ditukar kepada Masjid Tanjung Pasir tetapi nama `Balai Diah' kekal digunakan.
"Bermula dari masjid Kampung Labuan, pembinaan masjid berkembang ke kampung lain seperti Timbang Dayang, Siasai, Sembirai, Song-Song, Lebak Moyoh dan Rampayan Ulu," katanya.
Khatib Masjid Kampung Tanjung Pasir, Daud Lunggung, 90, turut bersetuju masjid itu dibina pada 1911 dengan khatib pertama yang membaca `Khutbah Ilahu' adalah ulama dari Makkah, Almarhum Sheikh Kadir Jailani yang dalam pelayaran dari Makkah ke Sipitang sebelum berpatah balik ke Pelabuhan Pulau Gentisan di Kota Belud.
"Sheikh Kadir Jailani adalah sahabat baik Sultan Omar Ali Saifuddin yang datang ke Brunei Darussalam kerana menerima undangan Sultan Ahmad Tajuddin Akhazul Khairi Waddin.
"Sepanjang pelayaran dari Makkah ke Brunei, beliau menyebarkan Islam dan membina masjid termasuk `Balai Diah'.
"Khutbah Ilahu' dibawa dari Brunei Darussalam dan teks asalnya yang mendoakan kesejahteraan Sultan Omar Ali Saifuddin dikekalkan biarpun ketika itu baginda sudah mangkat.
"Menariknya khutbah itu terus diguna pakai sehingga sekarang.
"Doa untuk kesejahteraan Almarhum Sheikh Kadir Jailani pula diamalkan di sekitar `Balai Diah' meliputi Kampung Labuan, Wakap, Timbang Dayang dan Sembirai mulai 1911 sehingga 1980-an.
"Ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945 `Balai Diah' menjadi tempat perlindungan penduduk setempat daripada bedilan mortar dan bom oleh Tentera Bersekutu dan Jepun sama ada dari udara mahu pun darat kerana yakin akan dilindungi Allah," katanya pada pertemuan dengan Berita Harian di Kampung Tanjung Pasir, baru-baru ini.
Bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kota Belud, Basirin Boyoh, berpendapat `Balai Diah' dibina pada 1935 secara gotong-royong dengan Allahyarham Arjali Tilak bertindak sebagai Ketua Jawatankuasa Pembinaan, kemudian menjadi Ketua Masjid, manakala Penasihat Jawatankuasa Masjid adalah Orang Kaya-Kaya (OKK) Hasbullah Arshad.
Pembinaan masjid yang menjadi tumpuan untuk solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha di Kota Belud pada zaman silam itu mendapat keizinan pembesar tempatan Tempassuk (sekarang Kota Belud), Belindung Hasbullah.
Ia menggunakan bahan binaan meliputi bambu dan nibong beratap nipah, manakala lokasinya berhampiran Pulau Gentisan (Kota Belud).
Masjid itu dinaik taraf kepada papan beratap zink sekitar 1980-an.
Beliau berkata, masih ada kesan bom berhampiran `Balai Diah' yang menjadi lopak besar ketika Jepun membedil penduduk setempat yang mendapatkan perlindungan dalam masjid berkenaan.
"Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Almarhum Sheikh Kadir Jailani berhijrah ke Brunei Darussalam," katanya.
Imam Rawatib Masjid Kampung Tanjung Pasir, Yunus Perin, 36, mencadangkan Masjid Tanjung Pasir atau `Balai Diah' dibangunkan sebagai lokasi pelancongan seperti Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddin dan Masjid Sultan Haji Hasanal Bolkiah di Brunei Darussalam.
Ia kerana, katanya, masjid itu mempunyai kaitan sejarah dengan `Balai Diah' berikutan teks khutbah `Ilahu' yang mendoakan Sultan Omar Ali Saifuddin.
"Masjid `endang' (lama) di Tanjung Pasir seharusnya diwartakan menjadi tapak bersejarah sebagai khazanah berharga negara. Kami sedang mengesan sebuah batu bersurat di sekitar masjid itu yang dipercayai dianugerahkan Pahlawan Sabah, Datuk Paduka Mat Salleh kepada penduduk setempat supaya mereka mendalami agama Islam, bersatu padu dan bangkit menentang penjajah," katanya.
Justeru, kajian saintifik mengenai Balai Diah seharusnya dilakukan untuk membuktikan tarikh sebenar pembinaannya, selain diwartakan sebagai pusat pelancongan sejarah, manakala teks `Khutbah Ilahu' yang digunakan wajar diserahkan kepada Arkib Negeri Sabah atau Arkib Negara sebagai khazanah sejarah berharga.
INFO
* Penduduk Kampung Labuan, Kota Belud, Renik Mad atau dikenali Yang Datih adalah mangsa tunggal perang Dunia Kedua di Kampung Labuan dengan Allahyarham kononnya tidak sempat mendapatkan perlindungan di `Balai Diah'.
* Sejak awal 2000 penggunaan `Khutbah Ilahu' di Masjid Tanjung Pasir, Kota Belud digilirkan dengan khutbah moden.
* Paluan gong yang dikenali `Gantang Lasa' memberi isyarat mengenai ketibaan seorang pembesar di jeti Pulau Gentisan di Kota Belud berhampiran `Balai Diah' membawa bersama pelbagai hasil pertukaran barang dengan pedagang luar termasuk dari Brunei Darussalam.
* Pembesar bergelar Datu Tamanggung itu tidak lupa membeli kain berwarna putih untuk dijadikan sejadah Masjid Tanjung Pasir dan kain kapan.
* Itu sejarah silam berlalu kira-kira 74 tahun lalu dan ketika ini Pulau Gentisan, berhampiran Kampung Labuan Tua (Tanjung Pasir) hanya tinggal tapak kecil yang mampu memuatkan serumpun bambu, manakala `Balai Diah' sudah berubah wajah.
* Pertukaran dulang makanan atau dalam bahasa Bajau `duang' pada Aidilfitri dan Aidiladha berasal di `Balai Diah'.
(END)