Isnin, 17 Januari 2011

`Kerah' perkukuh hubungan wanita Bajau, Dusun

Headline: `Kerah' perkukuh hubungan wanita Bajau, Dusun
Publication: BH
Date of publication: Feb 13, 2007
Section heading: Hip
Page number: 07
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin


IKATAN persahabatan dikenali `kerah' yang tersemai sejak berabad lalu menjadikan wanita etnik Bajau dan Dusun di Kota Belud hidup dalam suasana perpaduan biarpun berbeza agama dan budaya. Kecenderungannya, mereka menggunakan bahasa Bajau sebagai perhubungan.

Pada musim tertentu, etnik wanita Dusun akan berkunjung ke rumah kaum Bajau dengan membawa bersama kraf tangan dan buah-buahan tempatan untuk ditukar dengan kuih tradisional.

Bagi kampung yang jaraknya jauh dan berdepan masalah perhubungan, etnik Dusun bermalam di rumah masyarakat Bajau sehingga dua malam.

Mereka bertolak dari kampung dengan menggalas kraf tangan dan buah-buahan menggunakan wakid dan membawa pulang kuih-muih.

Penat lelah nyata berbaloi kerana mereka meninggalkan sahabat yang setia menanti kedatangan tahun berikutnya. Sebelum berpisah, mereka berjanji akan menjadi sahabat sejati selama-lamanya melalui hubungan kerah'.

Pada musim buah-buahan tempatan terutama `terap', etnik Bajau akan berkunjung ke kampung sahabat membawa kuih tradisional untuk ditukar dengan buah-buahan, tetapi tidak bermalam di situ.

Bagi warga emas Dusun, Segamo Balansau, 60, dari Kampung Pinolubu, di sini, kunjungan ke perkampungan Bajau pada musim perayaan mengukuhkan persahabatan yang sebelum ini terjalin di Tamu Minggu Kota Belud.

"Sebenarnya, kami boleh membeli kuih tradisional di Tamu Minggu atau Pasar Kuih-Muih Kota Belud, tetapi memilih berkunjung ke rumah masyarakat Bajau meneruskan tradisi bertukar barang diamalkan nenek-moyang.

"Kami gembira mengunjungi perkampungan Bajau kerana mereka memberi layanan istimewa. Kunjungan ini mengeratkan persahabatan dan mewujudkan kunjungan timbal balik yang mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum," katanya kepada Citra di Kampung Labuan, Kota Belud, baru-baru ini.

Segamo berkata, masih ada segelintir belia wanita muda dalam lingkungan 20-an yang mengamalkan tradisi itu biar pun ia hampir pupus kerana generasi muda menganggapnya ketinggalan zaman.

Beliau berkata, generasi muda tidak seharusnya berasa terpinggir menggalas wakid seperti golongan tua kerana tidak salah meneruskan amalan tradisi yang membawa kebaikan kepada masyarakat pelbagai kaum.

Kamboi Rambis, 38, yang berbangsa Dusun dari Kampung Pinolubu, di situ, berkata, budaya itu tidak terbatas kepada pertukaran barang, sebaliknya boleh membabitkan urus niaga menggunakan wang.

Katanya, ini bermakna sebahagian barangan yang digalas ditukar dengan kuih-muih, manakala selebihnya dijual.

"Sukar untuk mengubah tradisi, tetapi kami percaya ia boleh dilakukan secara perlahan-lahan," katanya.

Sementara itu, Layam Dogong, 55, berbangsa Bajau dari Kampung Labuan, berkata tetamu Dusun yang berkunjung rumah mereka turut dijamu dengan pelbagai juadah.

"Saya mempunyai lebih lima `kerah' yang datang ke rumah terutama ketika Aidilfitri dan Aidiladha. Hubungan akrab antara kami terjalin atas dasar persahabatan dan saling hormat menghormati biarpun berbeza agama dan bangsa," katanya.

Justeru, hubungan `kerah' antara etnik Bajau dan Dusun seharusnya dijadikan antara model penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama di negara ini.

(END)