Tajuk berita: Jejak Panglima Alli tak takut dibunuh tentera Jepun
Penerbitan: BM
Tarikh penerbitan: Dis 9, 2007
Tajuk bahagian: Dimensi
Mukasurat: 11
Penulis: Oleh Mohd Azrone Sarabatin
PANGLIMA Alli berjuang menentang penjajah untuk memartabat maruah bangsa yang menjadi hamba di bumi sendiri, tetapi namanya tidak didendang seperti Datuk Paduka Mat Salleh, Ontoros Antanom dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.
Kebakaran gudang getah di Pelabuhan Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada 9 Oktober 1943 menjadi kemuncak kebencian Jepun terhadap pemimpin masyarakat Pulau Sulug itu dengan mendakwa ia angkara tokoh terbabit dan pengikutnya.
Panglima Alli adalah seorang daripada 324 rakyat tempatan Sabah yang dibunuh secara kejam oleh Jepun di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 dan pengorbanan mereka diabadikan melalui Tugu Peringatan Petagas.
Tentera Jepun bertindak balas dengan melancarkan operasi menjejak pejuang Bajau subetnik Ubian itu kerana tercabar dengan kebakaran gudang komoditi yang sangat penting ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945.
Tuduhan tanpa bukti itu berikutan tentangan berterusan Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani dan pengikutnya terhadap Jepun terutama di Pulau Sulug dan Pulau Gaya di perairan Jesselton, selain di bandar itu.
Panglima Alli dan pengikutnya tidak membiarkan penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sulug menjadi korban kekejaman Jepun menyebabkan mereka enggan meninggalkan pulau itu, biarpun sedar Kempeitei (perisik tentera Jepun) akan bertindak balas.
Tokoh itu bersama dua orang kanannya dikenali Kasil dan Sandolan akhirnya berjaya ditawan yang berpunca kelemahan senjata iaitu parang sedangkan askar Nippon menggunakan senjata api jenis mesingan.
Panglima Alli dan pengikutnya dibunuh secara kejam di Petagas bersama anggota Gerila Kinabalu diketuai Albert Kwok yang terbabit dalam pemberontakan 10 Oktober 1943 atau `Double Ten' di Pantai Barat, Borneo Utara (kini Sabah).
Senario ini menyebabkan Panglima Alli dan pengikutnya dianggap pengikut Albert Kwok yang dikatakan menentang Jepun secara gerila kerana terpengaruh sentimen anti Jepun di China.
Tindakan Kwok ditentang Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun kerana perang gerila dilancarkan mendedahkan rakyat tempatan kepada maut menyebabkan Kwok menganggap Datu Mustapha seorang pengecut.
Anak Panglima Alli, Damiah, 85, berkata ayahnya bukan pengikut Kwok, sebaliknya berjuang bersama rakyat tempatan terutama etnik rumpun Bajau yang mendiami pulau sekitar Jesselton, Kota Belud dan Kudat.
Katanya, penduduk pulau yang menjadi rakan seperjuangan Panglima Alli adalah Pulau Gaya dan Pulau Mengalum di perairan Jesselton, Pulau Mantanani di Kota Belud dan Pulau Banggi di Kudat.
Beliau berkata, di tanah besar pula pengikut ayahnya adalah masyarakat sekitar Jesselton merangkumi Likas, Sepanggar, Putatan, Petagas, Tanjung Aru, Inanam dan Menggatal.
Panglima Alli mempunyai ramai rakan seperjuangan termasuk tokoh agama, dikenali Yaakub; ketua masyarakat Bajau Ubian di Pulau Mantanani Kota Belud, Imam Sailillah Buldani dan tauke kedai runcit berbangsa Tionghua dikenali Si Intai di Jesselton.
"Ayah saya pejuang sejati yang sanggup menggadaikan nyawa demi membela anak watan yang hidup sengsara dan menjadi hamba Jepun," kata anak tunggal Panglima Ali yang masih hidup dan kini menetap di Pulau Gaya.
Damiah sukar mengawal air matanya ketika menceritakan perjuangan ayahnya dan kesengsaraan hidup mereka menjadi buruan Kempeitei.
Panglima Alli bersama sepupunya dikenali Kasil dan adik iparnya Sandolan diheret lebih satu kilometer sebelum dilemparkan dalam kapal tentera Nippon dan dihantar ke Kem Tahanan Jepun di Kinarut, Papar sebelum dihukum bunuh.
Katanya, beliau bersama ibunya dikenali Kembangtuli serta ahli keluarga merayu kepada askar Jepun supaya membebaskan ayahnya, Kasil dan Sandolan, malangnya rayuan itu tidak diendahkan, sebaliknya mereka diancam bunuh.
"Penahanan ayah, Kasil dan Sandalon tidak membuahkan hasil kepada tentera Jepun untuk menjejak serta mengesan pihak bertanggungjawab membakar gudang getah kerana ketiadaan bukti sahih.
"Dalam tempoh 15 hari selepas penahanan mereka, tentera Jepun datang semula ke Pulau Sulug untuk menahan 33 nelayan yang disyaki pengikut ayah untuk membantu siasatan," katanya.
Antara yang ditawan kali ini ialah Damiah, Ketua Kampung (KK) Jawak bersama menantu, Saman Mawalli dan Maamun selain Toron, bagaimanapun KK Jawak dibebaskan kerana masih kecil.
Turut ditahan penduduk kampung dikenali Ulah, Sabbi, Saludin, Jaulan, Da Maanah, Inggal, Barahim, Nawi, Makatabang, Aling, Akmad dan Malul.
Damiah yang menyaksikan peristiwa itu tidak dapat menahan air mata ketika diminta mengimbas kembali kekejaman tentera Jepun itu terhadap keluarganya dan penduduk Pulau Sulug.
Katanya, penduduk tempatan yang menjadi tawanan Jepun tidak berdaya melawan dengan hanya bersenjatakan parang sedangkan Kempeitei lengkap dengan senjata api.
"Peristiwa pahit itu tidak berakhir di situ kerana keluarga kami menjadi buruan Kempeitei dan selepas mendengar nasihat wakil Residen Inggeris, kami meninggalkan Pulau Sulug dan berhijrah ke Papar," katanya.
Damiah berkata, mereka sekeluarga termasuk ibunya, Kembangtuli, KK Jawak, Masiah, Illang, Edallah, Rukaiyah Saman, Sahawi Maamon, Misli Saman, Eksi Saman, Palahuddin Maamon, Pillak Jimlok, Makhsi Saman dan Tasiah Toron yang masih bayi ketika itu, membawa diri ke Kampung Buang Sayang, Papar.
Tasiah kini menetap di Pulau Gaya bersama ibunya, Damiah.
Penahanan beramai-ramai pengikut Panglima Alli oleh Jepun gagal mengekang kebangkitan rakyat Sabah yang bersemangat waja membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman penjajah.
Difahamkan ada di antara mereka diberi minum air sabun lalu dipijak menyebabkan perut terburai, tidak diberi makanan sehingga mati kebuluran, dilemaskan dan yang paling ramai kepala mereka dipancung.
Ada juga cerita lisan mengenai peristiwa pembunuhan itu, sebahagian daripada mangsa tawanan berkenaan kononnya kebal menyebabkan askar Jepun membiarkan mereka kebuluran dan selepas itu dilemaskan dalam air.
Justeru, Panglima Alli adalah pejuang sejati yang sanggup mati demi memperjuangkan martabat bangsa dan agama serta perjuangannya tidak dipengaruhi golongan berpaksikan negara asing.
(END)
Tajuk berita: Masyarakat Bajau sanjungi keberanian
Penerbitan: BM
Tarikh penerbitan: Dis 9, 2007
Tajuk bahagian: Dimensi
Mukasurat: 11
PEMBUNUHAN kejam 324 penduduk Sabah di Petagas, dekat Jesselton (Kota Kinabalu) pada 21 Januari 1944 yang tercatat dalam sejarah Borneo Utara (kini Sabah) hanya menonjolkan tokoh utama pemimpin Gerila Kinabalu, Albert Kwok.
Ramai terlupa, seorang pejuang sejati, Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani berbangsa Bajau subetnik Ubian dari Pulau Sulug, Jesselton yang turut terbunuh dalam tragedi hitam itu.
Panglima Alli dilahirkan pada 1884 adalah anak ketiga daripada 12 beradik serta dianugerahkan gelaran Panglima oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) kerana keberanian beliau menentang Kempeitai (perisik tentera Jepun).
Anak perempuan Panglima Ali, Damiah, berkata ketika hayatnya, Panglima Ali membuka kebun ubi kayu, kelapa dan buah-buahan di Pulau Manukan serta Pulau Sulug di Jesselton untuk keperluan sendiri dan masyarakat setempat.
Panglima Alli disegani kawan dan lawan, berpendirian tegas, berkarisma dan penyayang sesuai peranannya sebagai imam dan ketua kampung di kalangan masyarakat Bajau subetnik Ubian di sekitar Jesselton.
Panglima Alli yang mempunyai bot nelayan dan lot niaga ikan di Pasar Jesselton, sering berulang alik dari Pulau Sulug ke ibu negeri untuk urusan perniagaan dan pertemuan dengan saudara mara serta rakan seperjuangan.
Sifat tegasnya diterjemahkan melalui keputusan bijak mengadili permasalahan masyarakat setempat dan ketegasan dalam memastikan anaknya menunaikan fardu ain dan fardu kifayah.
Beliau membuka Pulau Sulug sebagai perkampungan nelayan pada 1904 selepas menetap di Pulau Danawan di Papar dan Pulau Mengalum di tengah Laut Cina Selatan di perairan Jesselton.
Sekitar 1940-an, Panglima Alli dan keluarga menetap di perkampungan atas air di Tanjung Aru dekat ibu negeri atas permintaan pihak Residen Inggeris ketika itu.
Panglima Alli sering bermain gambus pada waktu malam, minat makan anak ikan direbus dengan serai dan malam Jumaat mengaji al-Quran serta hasil perkongsian hidup dengan Kembangtuli, mereka dikurniakan tujuh anak.
Selepas kematian Panglima Ali, keluarganya diancam bunuh penjajah Negara Matahari Terbit menyebabkan mereka berhijrah ke Kampung Buang Sayang dan Mandahan di Papar sehingga Jepun kalah kepada Tentera Bersekutu pada 1945.
Hasil jemputan seorang pegawai Residen Inggeris dikenali Kapten Munny, mereka kembali ke Pulau Sulug, sayangnya sebaik tiba di situ, pulau itu sudah musnah dibakar Jepun dan mereka memilih untuk menetap di Pulau Manukan.
Dalam kesengsaraan hidup akibat Perang Dunia Kedua, Damiah bersyukur kerana Allah memanjangkan umur adiknya, Ketua Kampung (KK) Jawak untuk kesinambungan kepemimpinan ayah mereka Panglima Alli.
Pemimpin masyarakat yang mewarisi ketokohan ayahnya membela bangsa, bertindak membimbing mereka supaya tabah menghadapi gelombang lautan dan berpanas di bawah terik mentari.
Sesudah sedekad menetap di Pulau Sulug mulai 1945, KK Jawak bersama keluarganya berhijrah ke Pulau Mamutik, Kota Kinabalu seterusnya mereka berpindah ke Pulau Manukan di daerah sama pada 1960.
Enam tahun kemudian KK Jawak membuka kawasan perkampungan baru di Kampung Baru Baru, Tuaran dan menetap di situ sehingga akhir hayatnya pada 26 Mei 2005 dan kini anaknya Suhaili meneruskan kepemimpinannya.
(END)