Headline: Pantai Bak-Bak murung dalam kesepian
Publication: BM
Date of publication: Mar 27, 2005
Section heading: Perspektif
Page number: 11
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin
PANTAI Bak-Bak, Kudat yang suatu ketika dulu amat popular dengan kelapa bercabang tiga semakin dilupakan berikutan kewujudan pusat pelancongan baru bertaraf dunia di Tanjung Simpang Mengayau, tidak jauh dari situ.
Pelancong tempatan dan asing semakin lupa dengan pantai itu, sedangkan ia destinasi pelancongan mempesonakan dan keindahan alam semula jadinya masih lagi kekal, cuma kelapa bercabang tiga sudah lenyap ditelan waktu.
Terletak kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu atau 10 kilometer dari pekan Kudat, Pantai Bak-Bak yang menghadap Laut Sulu menyajikan pemandangan istimewa yang menenangkan jiwa.
Ketika bersantai, dari jauh pelancong dapat melihat Pulau Balambangan, Banggi, Malawali dan beberapa gugusan pulau kecil di sekitarnya, selain kepulauan yang terletak di perairan selatan Filipina.
Pelancong yang memilih makan angin dan bersantai di destinasi itu dapat melihat panorama indah ciptaan Ilahi yang mengasyikkan iaitu pantai dan kebun kelapa dan pastinya meninggalkan kenangan sukar dilupakan.
Pantainya yang bersih dan membiru menambahkan lagi keindahan dan keceriaan dan bagi mereka yang kali pertama berkunjung ke situ, pastinya mahu datang lagi untuk kali kedua.
Perairan yang cetek membolehkan pengunjung dapat melihat sendiri batu karang yang menghiasi tepian pantai dan suasana ini sudah tentu menghibur dan mendamaikan hati yang gunda-gulana.
Bagi penyair, sudah tentu ia memberi ilham untuk menghasilkan puisi bertema mayapada, desiran ombak, angin sepoi bahasa atau juga cinta pada kekasih di kejauhan atau baru ditemui di tepian pantai itu.
Apa tidaknya, makan angin sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan dalam ketenangan serta kedamaian itu, timbul pula ilham yang akhirnya diabadikan dalam puisi atau cerpen.
Ini diakui sahabat penulis, Norawi Kata, dari Kota Belud iaitu penerima Hadiah Sastera Sabah kategori puisi tiga kali berturut-turut masing-masing pada 1996/1997, 1998/1999 dan 2000/2001.
"Berkunjung ke Pantai Bak-Bak menimbulkan ilham untuk berkarya yang berpunca daripada keindahan alam semua jadi dan kebersihan pantai pusat peranginan menawan itu," katanya.
Sebenarnya, Pantai Bak-Bak juga sesuai untuk kegiatan memanggang ikan terutama pada waktu senja, sambil menikmati juadah makanan laut segar, sempat pula menikmati keindahan mentari terbenam pada waktu senja.
Suara unggas akan menambahkan lagi keindahan dan keceriaan alam maya dan kunjungan ke pantai itu pastinya tidak sia-sia, sebaliknya meninggalkan nostalgia yang pastinya kekal sepanjang zaman.
Sebenarnya, pantai itu sering menjadi destinasi untuk menganjurkan pelbagai kegiatan termasuk kebudayaan antaranya betitik anjuran Persatuan Seni Budaya Bajau (PSBB).
Di pantai itu jugalah pernah berlangsung perkhemahan Rakan Muda dan pelbagai kegiatan lain dan pemilihannya sudah tentu berikutan keindahan dan kesesuaiannya untuk menjalankan pelbagai kegiatan.
Dalam pada itu, seorang pelancong tempatan dari Semporna, Hermi Ejip mengakui Pantai Bak-Bak amat istimewa dan keindahannya mendamaikan hati, sekali gus kunjungan ke sana adalah pilihan tepat.
Beliau berkata, kepenatan memandu kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu, hilang serta-merta apabila tiba di pantai itu dan ini berpunca daripada keindahan alam semulajadinya.
Katanya, kunjungan pertama tidak memberi sebarang makna, jika tidak disusuli dengan lawatan kali kedua atau ketiga dan sebab itulah sepanjang tahun ini, sudah dua kali beliau berkunjung ke sana.
"Orang semakin lupa dengan Pantai Bak-Bak berikutan kewujudan Tanjung Simpang Mengayau yang menjadi destinasi pelancongan elit tetapi percayalah, pantai ini mempunyai tarikan tersendiri yang mempesonakan," katanya.
Selain Pantai Bak-Bak, sebuah lagi destinasi makan angin tepian pantai popular di Kudat adalah Esplanad Sidek yang menjadi destinasi popular untuk makan malam bagi warga daerah pertanian dan perikanan itu.
Pantainya indah dan bersih dan tidak hairanlah ia menjadi tumpuan ramai untuk bersantai dan lebih menarik orang ramai boleh memancing di persekitaran gerai yang kemudiannya dipanggang.
Bayaran untuk perkhidmatan memanggang ikan dan sotong yang dibeli di pasar atau dipancing adalah RM5 dan harga itu berbaloi dengan juadah yang dihasilkan gerai terbabit.
Sebenarnya, kebersihan persekitaran Esplanad Sidek menjadi tarikan tambahan kepada destinasi itu dan ini pastinya memberi limpahan rezeki kepada peniaga gerai di situ.
Di lokasi ini, pengunjung dapat melihat panorama mentari terbenam, kapal nelayan bertolak ke tengah lautan untuk mencari rezeki dan projek ikan dalam sangkar yang menguntungkan.
Perairan berhadapan Esplanad Sidek diwartakan sebagai taman laut yang dikenali Taman Laut Tun Mustapha sempena nama Bapa Kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Harun, anak jati Kudat kelahiran Kampung Limau-Limauan.
Pewartaan taman laut itu yang diumumkan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Chong Kah Kiat yang juga anak jati Kudat adalah langkah memulihara terumbu karang daripada kepupusan berikutan kegiatan pengeboman ikan.
Usaha itu menjadi daya tarikan pelancong dan ini menjadikan Kudat lokasi makan angin popular membabitkan pelancongan tepian pantai dan keindahannya kekal kerana usaha murni kerajaan mewartakan perairannya sebgai taman laut.
Justeru, tidak dapat dinafikan Kudat mempunyai destinasi pelancongan menarik, selain Tanjung Simpang Mengayau ia turut memiliki Pantai Bak-Bak dan Esplanad Sidek di perairan Taman Marin Tun Mustapha.
(END)