TAHNIAH kepada Saudara Muddin Beting dan rakan seperjuangan kerana berjaya menghasilkan kumpulan pantun atau kalang rumpun Bajau etnik Sama bertajuk Kalang Sama: Pantun Nasihat Mengadab Diri Memperkasa Bangsa.
Berdasarkan pengamatan saya, kira-kira 98 peratus daripada hasil percambahan minda ini adalah pantun moden manakala bakinya kalang tradisional yang diungkap dalam bahasa nan indah penuh dengan nilai falsafah, simbolik dan bermaruah.
Bukan mudah menghimpunkan pantun seumpama ini, apatah lagi wujud kekangan linguistik (kajian saintifik tentang sesuatu bahasa atau berkaitan dengan bahasa), sistem ejaan kerana bahasa Bajau/Sama belum memiliki sistem standard, fonetik (ilmu bahasa yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya), morfologi (kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa termasuk terbitan dan pemajmukan) dan lain-lain.
Bagaimanapun, kekentalan semangat para pengalang (pengubah pemantun) berjaya mengubah persepsi bahawa bahasa yang tidak memiliki sistem ini sukar untuk didokumentasikan.
Lebih menarik, mereka juga berjaya mewujudkan sistem ejaan meliputi vokal dan konsenan yang saya harap dapat dipaten dan diperluaskan untuk kecemerlangan bahasa Bajau/Sama pada masa depan.
Kumpulan pantun ini perlu dimiliki generasi muda Bajau/Sama masa kini supaya kita dapat mempertahankan bahasa kerana sesungguhnya hilang bahasa lenyaplah bangsa dan bahasa jiwa bangsa.
Kita tidak mahu bahasa Bajau/Sama hilang ditelan kemajuan dan goyah menghadapi cabaran semasa seperti lenyapnya bahasa Optik, Aram dan Palijuga dalam peta dunia.
Kita khuatir kerana berdasarkan perangkaan tidak rasmi hasil tinjauan pengkaji dan pengamal bahasa Bajau/Sama, ketika ini kira-kira 30 peratus msyarakat Bajau terutama generasi muda kita tidak pandai menuturkan bahasa ibunda kerana bagi ibu bapa mereka ia bukan lagi keperluan, sebaliknya memilih bahasa Malaysia dan Inggeris.
Tidak hairanlah jumlah penutur bahasa Bajau meliputi semua rumpun Bajau adalah kira-kira 200,000 sedangkan masyarakat Bajau di Sabah dianggarkan hampir 300,000 orang. Persoalannya, kenapa mereka memilih meminggirkan bahasa ibunda sendiri.
Salah satu punca dikesan yang menyebabkan kepupusan sesuatu bahasa adalah ketiadaan sistem tulisan dan pendokumentasian bahasa, budaya, seni dan warisan.
Justeru, usaha Saudara Muddin dan rakan seperjuangan adalah langkah baik untuk memastikan bahasa Bajau/Sama kekal dalam peta dunia bertepatan firman Allah dalam al-Quran: Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang merubah nasibnya.
Dalam konteks pengumpulan pantun ini, saya berpendapat ia adalah usaha murni untuk mengekalkan masyarakat Bajau/Sama dalam peta dunia demi menunaikan amanah Allah supaya manusia sebagai khalifah di muka bumi dapat mengubah nasib bangsanya.
Ada juga pantun yang digubah berdasarkan firman Allah dalam al-Quran dan Hadis Nabi dan ia sudah tentu menjadi bahan dakwah untuk masyarakat Bajau/Sama terutama mereka yang menjadi peminat kesenian ini.
Antologi ini amat baik kerana mengetengahkan banyak istilah bahasa Bajau etnik Sama tulen termasuk bidalan dan peribahasa.
Namun begitu, kadangkala rima (bunyi yang sama pada huruf akhir atau kata akhir dalam sesuatu rangkap dan diksi (pemilihan dan penggunaan kata yang tepat dan berkesan untuk mengungkapkan idea secara bertulis dan lisan) lari daripada kecenderungan pantun yang mengunakan rima akhir ABAB.
Pantun meliputi dua kerat, empat kerat dan enam kerat. Pantun dua kerat menggunakan baris pertama sebagai pembayang manakala baris kedua maksud, pantun empat kerat (dua baris pertama pembayang manakala dua baris akhir maksud) dan pantun enam kerat (tiga baris pertama pembayang dan tiga baris akhir maksud).
Kita perhatikan rima pantun empat kerat di bawah:
Pisang emas bawa belayar
Simpan sebiji di dalam peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati
Baris pertama berakhir dengan AR manakala baris kedua dan ketiga TI yang merujuk kepada rima ABAB.
Dalam kumpulan kalang Sama ini juga Ada ketikanya, bahasa Melayu digunakan untuk menyampaikan maksud atau memastikan keseragaman rima biarpun bahasa itu sudah adalah dalam bahasa Bajau/Sama seperti pukat sedangkan dalam bahasa Bajau dipanggil ringgi, parit (liang), walaupun (pian ko pian), sampai (santak), bangkit (pungkad), akhirat (mairat).
Ada juga bahasa Bajau/Sama yang diterjemah daripada bahasa Malaysia sedangkan istilah itu ada dalam bahasa ibunda kita iaitu `lumaan betis' (jalan kaki) sedangkan perkataan `mampan' atau `lumaan entana’ boleh digunapakai.
Kegemilangan masyarakat Bajau/Sama sebagai pelayar menggunakan lamak (kapal layar) yang dikaitkan dengan Kampung Labuan, Kota Belud yang berasal daripada perkataan pelabuhan, sejarah Balai Dia’ atau sekarang Masjid Tanjung Pasir, Kota Belud yang masih lagi menyiman khutbah Jumaat pada era pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin di Negara Brunei Darussalam turut diungkap dalam antologi ini.
Selain itu, seni sulaman seperti `tipo selisir' (tikar berhias), `lemba’ atau `langit-langit (kain berhias untuk menghiasi rumah dan teratak), `usungan nelembaan' (tandu berhias `lemba’ yang rutinnya dinaiki pengantin lelaki berdarah bangsawan ke rumah pasangannya), `syair buka tabir' (Syair pihak pengantin lelaki untuk membuka tirai pelamin bagi memulakan majlis persandingan) dan `syair kubur' (Hikayat mengenai kematian) boleh diterbitkan dalam antologi kalang, esei atau cerpen Sama pada keluaran akan datang.
Bagaimanapun, usaha Saudara Muddin dan rakan seperjuangan adalah permulaan baik dan untuk mencapai kesempurnaan ia memerlukan usaha yang berterusan serta tidak terhenti di sini. Sebuah novel misalnya bertambah mantap pada edisi kedua dan berikutnya selepas melalui proses penambahbaikan terutama ejaan dan istilah.
Saya mencadangkan, pada masa depan pantun atau bahasa Bajau perlu dibengkelkan atau perbincangan meja bulat terlebih dahulu sebelum diterbitkan untuk mencari kesesuaian istilah digunakan, sebelum diwariskan kepada generasi muda.
Kita boleh menghimpunkan cendekiawan Bajau, golongan berusia 70 tahun ke atas, pengamal bahasa, penggiat budaya dan penulis berketurunan Bajau/Sama.
Kita sebenarnya memiliki ramai penulis yang memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu yang boleh membantu memartabatkan bahasa ibundanya seperti bekas pemenang Hadiah Sastera Malaysia, Saudara Soibil Madun.
Masyarakat Bajau tanpa disedari atau tidak sebenarnya mempunyai banyak pantun, peribahasa dan bidalan yang berestetika tinggi dan banyak unsur moral seperti bidalan `Ngeliit umbuh' yang bermakna seseorang yang tidak berusaha sebaliknya hanya meminta simpati orang lain untuk memberi makanan, `rejiki pedus' atau `rejiki rungai' (nasib malang) dan `lamak oyo' (orang besar atau kaya).
Jika bahasa Melayu ada peribahasa Sudah jatuh ditimpa tangga yang merujuk kepada kesusahan berganda, ada peribahasa seerti dengannya iaitu `Endakan besekor merebas pekepah tah singo repuh'.
Orang yang gagal menunaikan amanah digambarkan dalam peribahasa Melayu sebagai `Harapkan pagar, pagar makan padi' dan dalam bahasa Bajau/Sama ada bidalan yang mendukung maksud sama iaitu `Mangan garit' manakala peribahasa `Patah tumbuh hilang berganti pula ada persamaannya dengan `Endakan gaguk eko bana piak ni'.
Dalam pada itu, orang membuang air besar pula dirujuk sebagai `Ngagad paai buuk' atau `nebueh' manakala ketiak seseorang yang berbau busuk disebut `Buan gabah'.
Begitulah serba sedikit peribahasa dan bidalan Bajau yang sememangnya indah dan tinggi nilai pemikiran dan estetikanya.
Saya berdoa kehadrat al-Khalik semoga penerbitan kumpulan Kalang Sama ini menjadi momentum untuk mengekalkan bahasa Bajau di peta dunia supaya kita dapat mempertahankan khazanah mulia kurniaan Allah.
Allahyarham Datuk Haji Ismail Abas
Bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah
Mantan Penerima SEA Write Award Kerajaan Thailand