Assallamualaikum w.b.t
*Bismillah permulaan kata*
*Pembuka kalam minda bicara*
*Sekapur sireh ruang bermadah*
*Terima kasih empunya cerita.*
Saya panjatkan syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinnya jua saya diberikan ruang untuk melakar bicara sepatah dua kata dala ruangan Sekapur Sireh buku ‘ Kalang Sama: Pantun *Nasihat Pengadab* Diri Memparkasa Bangsa’.
Sesungguhnya kesempatan yang diberikan ini merupakan satu penghormatan besar dan cukup bermakna kepada saya selaku warga budaya.
Lantaran itu, maka saya pada kesempatan dan ruang yang ada ini, ingin menyampaika rasa hormat dan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua penulis atau pemantun buku Kalang Sama ini, khususnya kepada saudara saya cikgu Muddin Beting selaku Ketua Editor di atas penghormatan dan ruang yang diberikan kepada saya ini.
Kita sedar dan faham bahawa budaya adalah ciptaan manusia.
Tanpa manusia tiada budaya. Namun tanpa budaya samalah jua tiada manusia.
Oleh kerana manusia sebagai makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna, maka dengan izin Allah s.w.t jua manusia telah mencipta bahasanya yang tersendiri yang dapat dijadikan sebagai alat komunikasi bagi menyampaikan maksud atau makna kepada pendengar atau audien.
Lantaran itu, bahasa yang sifatnya sebagai alat komunikasi telah dengan sendirinya memainkan peranan yang cukup besar dan bermakna
dalam mempengaruhi tindak taduk manusia dalam segala aspek kehidupan.
Sebagai alat komunikasi bahasa terjelma melalui pengucapan tutur kata. Melalui pengucapan inilah bahasa telah dizahirkan oleh penutur dalam pelbagai bentuk dan ragam.
Ragam bahasa ini sering dikenali dengan nama bahasa prosa, puisi dan juga bahasa isyarat.
Puisi sebagai bahasa yang dianggap cukup halus, simbolik dan penuh estetika, pula wujud dalam berbagai bentuk dan ragam. Bahasa puisi
ini sering dikenali atau disebut sebagai pantun, syair, sajak, gurindam, nyanyian, berjanji mahupun teka teki dan sebagainya.
Dalam konteks bahasa sukuan, maka Kalang Sama bolehlah dikategorikan sebagai dalam puisi pantun.
Pantun sebagai bahasa puisi umumnya mempunyai sifat dan bentuknya yang tersendiri. Umpamanya terdapat pantun 2 rangkap. Ada 4 rangkap dan ada juga pantun 6 rangkap.
Biasanya rangkap pertama dan kedua sering menjadi pembayang maksud. Sementara rangkap ke tiga dan ke empat sebagai maksud.
Namun begitu Kalang Sama yang terdapat dalam buku ini, kadang kala lari dari bentuk dan sifat-sifat kebiasaan ini. Umpamanya; dalam bab
atau tema tertentu, kalang sama diungkap dan ditulis dalam 5 rangkap.
Rangkap pertama hingga rangkap ketiga menjadi pembayang maksud. Sementara rangkap ke empat dan ke lima sebagai maksud. Namun ia tidaklah merosakkan makna dan rima pantun ini. Malahan ia menjadi suatu yang menarik dan kelainan daripada sifat-sifat pantun biasa yang ada.
Mungkin itulah keunikan dan kekuatan Kalang Sama.
Sebagai sebahagian daripada seni puisi masyarakat Bajau-Sama, Kalang Sama sebenarnya telah menjadi warisan kesenian masyarakat Bajau-Sama yang cukup popular sejak sekian lama.
Lagu-lagu atau puisi Kalang Sama telahpun sering dibaca dan diperdengarkan bukan sahaja dalam majlis-majlis keramaian atau majlis rasmi kerajaan. tetapi juga kepada seluruh lapisan masyarakat pendengar di luar lingkungan pengamal budaya tersebut.
Namun ia jarang dikhazanah samada dalam bentuk tulisan mahupun rakaman. Sebagai warga budaya yang pernah menjadi penyelidik dan
pengurus budaya di peringkat nasional sebelum ini, saya melihat puisi pantun
Kalang Sama serta juga lain-lain puisi tradisional seperti syair, gurindam dan sebagainya semacam telah terpingir dan tenggelam dalam arus perubahan semasa oleh hiruk pikuk keghairahan manusia mengejar dunia kebendaan.
Akibatnya manusia telah lupa bukan sahaja kepada akar umbi budaya dan kesenian bangsanya, tetapi juga mereka tenggelam dan hanyut di bawa arus globalisasi semasa. Sebaliknya dunia ICT telah mendominasikan kehidupan manusia dan bangsa kita sehingga ia telah membentuk satu budaya dan demensi baru dalam kehidupan manusia moden di zaman kontemporari ini.
Dengan yang demikian, manusia juga masyarakat kelompoknya semacam kehilangan identiti dan jadi diri sehingga ia tidak lagi dapat mengenal dari mana asal usul bangsa atau suku kaumnya. Proses kecairan budaya terus berlaku dan memugar bangsa ini sehingga kehilangan jatidiri.
Proses pencairan budaya ini seharus dilihat sebagai suatu bentuk penghakisan jati bangsa. Lebih malang masyarakat kita bukan sahaja kehilangan bahasa dan budayanya, tetapi juga kehilangan bentuk wajah.
Bentuk wajah-wajah rumpun Melayu dan Asia Timur telah berubah dan diubah sehingga anggota tubuhnya juga berubah kepada bentuk bangsa lain yang mirip bangsa Eropah.
Oleh yang demikian langkah pengumpulan, pemuliharaan dan penerbitan pantun Kalang Sama seumpama ini adalah amat tepat pada masa dan
waktunya. Usaha mengumpul dan menerbit buku kalang sama ini bukan sahaja dapat memulihara khazanah kesenian warisan bangsa Melayu [Bajau-Sama] tetapi juga dapat mencernakan pemikiran bangsa masyarakat Melayu rumpun Bajau-Sama ini untuk dikongsi dan dinilai bersama antara pemantun [penulis] dan juga pembaca.
Pepatah Melayu menyebut “Bahasa Jiwa Bangsa – Budaya Nilai Bangsa”. Ungkapan ini pada saya amat tepat untuk melihat secara dasar akan hasrat penerbitan buku ini.
Kalang sama sebagai puisi pantun yang memperlihatkan manifestai jiwa dan pemikiran bangsa atau masyarakat penyair atau pemantun bagi sesuatu kaum atau masyarakat, maka kalangan sama bolehlah dianggap sebagai satu manifetasi penyair masyarakat Bajau-Sama yang terungkap pada silamnya serta di zaman kontemporari ini, melalui kata-kata puisi yang berirama dan juga rima.
Sesungguhnya ungkapan-ungkapan serta kata-kata dalam kalangan sama ini, bukan sahaja untuk diperdengar atau disampaikan kepada masyarakat kelompok masyarakat tersebut, malahan juga kepada masyarakat di luar lingkungannya.
Dalam erti kata lain kalang sama sebagai puisi yang diungkap dalam bentuk tulisan seperti mana dalam buku *Kalang Sama: Pantun
Nasihat Pengadab Diri Memparkasa Bangsa’ maka dengan sendirinya pantun ini telah dapat membawa pembaca berkomunikasi dengan pemantun melalui teks.
Teks sebagai perantara di antara penulis dan pembaca, wa’ima apapun tanggapan pembaca tersebut terhadap sesuatu teks tersebut, maka ia adalah tetap memperlihatkan bentuk pemikiran,budaya serta jadi diri bangsa atau masyarakat yang diwakili pemantun.
Oleh itu ‘‘Kalang Sama: Pantun Nasihat Mengadab Diri Memperkasa Bangsa’’ ini bolehlah dianggap sebagai cetusan rasa, jiwa dan pemikiran pemantun atau penulis secara umum serta reaksi pemantun terhadap dunia persekitaran semasanya.
Sebagai manusia atau individu yang dilahirkan dalam lingkungan Bajau-Sama serta juga mempunyai pertalian darah dengan masyarakat ini
dan hampir menguasai serta memilik perbendaharaan kata yang agak baik dalam bahasa-bahasa suku kaum Bajau-Sama, terutama bagi suku
Bajau-Sama di sebelah Pantai Barat meliputi daerah Kota Kinabalu, Putatan, Petagas, Tuaran, Kota Marudu, Kudat dan khasnya Kota Belud, maka untuk saya mentelaah lebih 456 buah pantun kalangan sama dalam buku ini bukalah sesuatu yang dianggap merumitkan kerana saya dapat mengerti dan memahami apa yang ditulis dan dipaparkan oleh pemantun.
Namun perkara yang agak merumitkan saya adalah sistem ejaan yang digunakan serta temanya yang pelbagai itu.
Secara dasar penulis atau editor buku ini telahpun menggariskan melalui pemilihan tajuk buku dan muqaddimahnya, bahawa pantun Kalang Sama yang terhimpun dalam buku ini adalah berupa pantun nasihat.
Nasihat bagaimana seharusnya bangsa ini dapat mentarbiah dan memperkasa diri mereka, bukan sahaja dalam persoalan kelangsungan hidup seperti dalam menyentuh hal ekonomi, pendidikan, moral, sosial tetapi juga soal pegangan terhadap ajaran Islam itu sendiri.
Hal ini telah diberikan penekanan oleh kebanyakan pemantun dalam buku ini kerana masyarakat rumpun Bajau-Sama sesungguhnya adalah penganut agam Islam.
Selain daripada itu buku ini juga telah mencernakan wajah dan pemikiran penulis yang ingin melihat bangsanya terus maju serta di bawa panji-panji
keagungan bangsanya sendiri.
Buku ini juga menzahirkan rasa duka penulis yang melihat masyarakatnya lupa kepada perjuangan bangsa sendiri, sebaliknya mengagungkan bangsa lain, terutama penjajah Eropah.
Hal Ini dapat diperlihat melalui kalang yang terungkap dalam teks buku ini di dalam tema Sejarah Bangsa [ms.18 -20 ]
Lihat sajalah ungkapan ini:
“ Embo’ Ali panglima oyo,
Tenimbak syahid ensedi semio,
Riyawat Company penyoyo-poyo,
Pejuang bongso dekitnya’ tekito.”
[Terjemahannya; Moyang Ali Panglima besar,
Mati ditembak di tepi pasar [tamu],
Kisah penjajah [compony] diperbesar-besar,
Pejuang bangsa sedikitpun tidak dipeduli].
Dari beberapa sudut terutama ‘ejaan’ memang banyak perkara yang perlu diteliti dan dibuat kajian terutama kaedah sebutan dan fonotiknya. Saya
faham dan seperti diakui oleh penulis atau editor sendiri, hal ejaan ini memang agak sukar dan mengelirukan. Namun demikian, pada saya ini bukanlah suatu kelemahan, kerana secara realiti bahasa Bajau-Sama, seperti juga dengan kebanyakan suku-suku kaum yang lain belum lagi
mempunyai sistem ejaan tertentu dan sistematik. Kita perlu akui, ini bukalah bidang kemahiran kita, Kita perlu belajar lebih banyak lagi daripada orang yang pakar.
Bagaimanapun hal ini menarik dan sekaligus telah membuka satu deminsi baru kepada kita sebagai manusia pencinta seni warisan dan budaya bangsa agar melihat permasalahan ‘ejaan’ ini sebagai suatu keperluan baru dalam meneroka dan memulihara khazanah warisan bangsa. Penerokaan ini penting agar proses memulihara dan mengkhazanah warisan bangsa dapat dibuat dengan lebih mantap dan tersusun.
Keazaman dan kesungguhan kita semua untuk mengambil pendekatan positif terhadap dunia ilmu ke bahasan, terutama hal-hal bersangkutan dengan sistem ejaan dan fonetik ini akan dapat membantu kita memulihara khazanah warisan kita terutama puisi pantun kalang sama dengan lebih mudah dan berjaya. Insya Allah!.
Akhir sekali saya menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pihak, khususnya kepada Ketua Editor dan juga penerbit di atas usaha murni mengumpul dan menerbit pantun Kalang Sama ini. Sebagai penyudah, izinkan saya untuk menyisipkan serangkap pantun sebagai penutup bicara;
* Ku Panjat syukur kehadrat Allah*
* Wacana bicara mencerna minda.*
* Kalang Sama begitu indah*
* Warisan bangsa perlu dipelihara.*
Sekian terima kasih.
LALIMAN BIN KEMAD @ HJ.AHMAD
Ahli Kehormat / Penasihat Persatuan Ikatan Penulis Sabah [IPS]
Mantan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Malaysia, Cawangan Sarawak