Khamis, 30 Disember 2010

Usungan Berhias

Headline: Hanya `Datu' layak guna usungan berhias
Publication: BM
Date of publication: Apr 2, 2006
Section heading: Dimensi
Page number: 07
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin


PALUAN gong yang dikenali Gantang Lasa memberi isyarat mengenai ketibaan seorang pembesar di jeti Pulau Gentisan di Kota Belud, membawa bersama pelbagai hasil pertukaran barang dengan pedagang luar termasuk dari Brunei Darussalam.

Pembesar bergelar Datu Temenggung berketurunan Dusun beragama Islam itu tidak lupa membeli tiga gulung kain berwarna kuning, merah dan putih pesanan bangsawan tempatan bergelar 'Datu' untuk dijadikan hiasan usungan.

Itu sejarah silam yang berlalu kira-kira 200 tahun lalu dan ketika ini Pulau Gentisan, berhampiran Kampung Tanjung Pasir dan Tanjung Wakap hanya tinggal tapak kecil yang mampu memuatkan serumpun bambu.

Bagaimanapun, usungan berhias yang digunakan untuk mengusung pengantin lelaki ke rumah pasangannya masih diamalkan segelintir masyarakat Bajau berketurunan 'Datu' yang menetap di Kota Belud.

Perhiasan usungan termasuk corak membentuk nama Allah dan Muhammad, selain lakaran kuda serta bulan dan bintang ditenun menggunakan benang atau manik, sekali gus membuktikan ia memiliki kesenian tinggi.

Kesenian yang cukup tinggi itu bukan mudah untuk dihasilkan sekiranya tidak memiliki daya kreativiti dan hanya mereka yang teliti dan sabar saja dapat menghasilkan perhiasan yang cukup indah itu.

Memang benar, jika mahu mengenali etnik peribumi di negara kita, sudah pasti identiti berharga mereka lebih mudah dikenali daripada keunikan seni dan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang.

Bangsawan Bajau berketurunan 'Datu' adalah gelaran untuk anak lelaki mempunyai darah itu dari sebelah bapanya, sebaliknya jika susur galur berkenaan di sebelah ibunya, tidak layak menggunakan gelaran terbabit.

Sekumpulan tujuh orang yang mempersembahkan muzik tradisional dalam acara 'betitik' akan mengalunkan titiran dikenali 'tegunggu'; sebagai simbolik pengantin lelaki yang diusung sudah bertolak ke rumah pasangannya.

Peralatan untuk betitik adalah sepasang gong, bebandil (gong kecil), gendang dan seunit kulintangan (mirip caklempong) yang boleh dipersembahkan dalam pelbagai irama termasuk kemuncaknya dikenali 'tigad-tigad'.

Pengamal budaya Bajau, Diman Taop, 77, berkata gelaran itu akan kekal dari satu generasi ke generasi, sekali gus mereka layak mengamalkan budaya perarakan menggunakan 'usungan berhias' ketika majlis perkahwinan.

Katanya, pada zaman silam, usungan digunakan pengantin lelaki, diangkat menggunakan tenaga manusia dari kediaman keluarganya ke rumah pasangannya yang diusung secara bergilir-gilir.

Beliau berkata, bagi mereka yang hanya mempunyai keturunan 'Datu' dari sebelah ibunya atau bergelar 'Baai', anak mereka tidak layak diusung menggunakan usungan berhias kerana bukan lagi bergelar 'Datu'.

"Kita tidak boleh menggunakan usungan berhias sesuka hati kerana orang tua-tua beranggapan, pihak terbabit melanggar adat dan akan menerima hukuman setimpal dari Ilahi," katanya kepada Berita Minggu di Kota Belud.

Diman yang juga bekas Ketua Kampung Wakap berkata, ketika ini mengusung pengantin lelaki ke rumah pasangannya diubah mengikut perkembangan semasa iaitu menggunakan kenderaan 'pikap' atau pacuan empat roda.

Sekiranya pengantin lelaki bernikah dengan pasangannya dari daerah luar, usungan tetap dikekalkan tetapi perarakan dibuat berhampiran rumah pasangannya, bukannya sepanjang perjalanan dilalui.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan untuk mengekalkan warisan berharga yang dimiliki oleh keturunan mempelai terbabit, sekali gus menjadi daya tarikan tetamu yang menghadiri majlis itu.

"Ketika ini, usungan berhias turut digunakan untuk menyambut pembesar negara, negeri dan tempatan dan ia tidak menyalahi adat kerana mereka juga adalah golongan kenamaan yang seharusnya disambut besar-besaran," katanya.

Diman berkata, selain diiringi kumpulan yang mempersembahkan kebudayaan 'betitik', ada ketikanya perarakan kuda berhias Bajau turut mengiringi pengantin terbabit, tetapi jarang berlaku.

Bagaimanapun katanya, budaya seumpama itu dapat disaksikan ketika upacara menyambut pembesar negara seperti Perdana Menteri atau Yang Dipertuan Agong atau Yang di-Pertua Negeri yang berlangsung dalam acara kebesaran.

Dalam pada itu, beliau berkata usungan juga turut digunakan untuk menghantar jenazah mereka yang berketurunan Datu ke tanah perkuburan, tetapi perhiasannya diubahsuai sebagai simbolik berkabung.

Gong bernada sayu turut dibunyikan sebaik berlaku kematian keturunan itu dan ketika jenazah diusung, dikenali 'Balu-balu' sebagai simbolik berlaku kematian seseorang berdarjat tinggi serta kampung berkabung 40 hari.

"Kita mudah mengenali sama ada keluarga berketurunan 'Datu' mengadakan majlis keramaian atau berlaku kematian kerana jika keramaian semua alat betitik dibunyikan manakala kematian hanya bunyi gong kedengaran," katanya.

Ini membuktikan budaya itu terus kekal dan diwarisi masyarakat Bajau, sekali gus menjadi identiti berharga untuk memperkenalkan mereka kepada dunia luar termasuk peringkat antarabangsa.

Justeru, masyarakat Bajau yang terkenal dengan amalan 'Seliu-liu' (saling membantu) seharusnya mempertahankan khazanah berharga nenek moyang mereka sebagai identiti masyarakat itu di persada nasional dan antarabangsa.

(END)